UNIVERSITI MALAYA PILIHAN PANDELELA RINONG
SUMBER : http://www.kosmo.com.my
MISTERI mengenai universiti pilihan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg akhirnya terjawab.
Semalam, pemenang pingat gangsa temasya Olimpik 2012 di London itu mengesahkan bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dalam bidang Sains Sukan.
Menurut Pandelela, 19, dia kini hanya menunggu pengesahan untuk kemasukan ke universiti terkemuka tanah air itu.
Biarpun dikatakan bakal melanjutkan pengajian di luar negara sebelum ini, Pandelela akhirnya membuat keputusan memilih UM kerana lokasinya yang berhampiran dengan pusat latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
“Saya ada masalah transport (pengangkutan). Kalau saya pilih universiti yang lagi jauh dari Bukit Jalil nanti sukar untuk saya berulang-alik (dari tempat latihan).
“Lagipun, rakan sepasukan Brian (Nickson Lomas) juga belajar di situ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian jam tangan edisi baharu, Oris di Suria KLCC semalam. Turut hadir, pelumba trek sensasi negara. Mohd. Azizulhasni Awang.
Kedua-dua atlet tersebut terdahulu menerima hadiah seutas jam tangan jenama Oris sebagai tanda penghargaan atas kejayaan dan usaha mereka dalam bidang sukan khususnya di temasya Olimpik baru-baru ini. Turut menerima jam itu ialah selebriti tempatan, Dennis Lau.
Mengulas lanjut, Pandelela turut berharap keputusannya melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut dapat membantunya memberikan sumbangan pada sukan terjun, selain dapat mempopularkan sukan itu pada masa hadapan.
Buat masa ini katanya, dia hanya mahu berehat dan tidak terlibat dalam mana-mana kejohanan.
Selepas Olimpik, saya tidak mempunyai apa-apa pertandingan, jadi jurulatih beri kelonggaran untuk saya menghadiri interview dan sebagainya,” katanya.







